Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Blogger Template From:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, February 20, 2006

Ferrari, Pierre Cardin di Darul Taqwa ( Part II )

"Di mana aku sebenarnya ni?" dia bertanya lagi kepada pegawai penguatkuasa dan budak kecil di tepi jalan.

Dia masih kenal, ini Jalan Chow Kit di tengah bandar Kuala Lumpur. Masih ada Masjid Pakistan dan Masjid Kampung Baru di sebelah sana. Tetapi itu sahaja, yang lain tidak ada.

"Pakcik di bandar Mutmainnah. Ini Jalan Mujahadah, namanya. Saya Haji Din, Pegawai Penguatkuasa Iman dan Islam. Diberi amanah untuk memastikan kebersihan lahir batin bandar ini."

Apa? Bandaraya Kuala Lumpur dah jadi Bandaraya Mutmainnah? Jalan Chow Kit dah jadi Jalan Mujahadah? Apa dia mutmainnah, apa dia mujahadah itu? Apa yang terjadi ni? Soalan-soalan itu terus menyerang benak Datuk Dr. Johar.

"Pakcik, kami rayu pakcik membayar denda tadi. Kalau tak sekarang, lepas solat nanti pakcik laksanakanlah. Demi kebaikan pakcik dunia dan akhirat..."

Tiba-tiba terdengar suara orang memberi salam dari jauh, nyaring dan jelas. Seorang lelaki pertengahan umur datang kepada pegawai penguatkuasa.

"Tuan, hukumlah saya. Saya mengumpat tadi. Ya Allah! Seksa neraka amat pedih. Tolonglah, tuan. Hukum saya di dunia sebelum saya dihukum di akhirat!" rayu lelaki itu.

Pegawai tadi berpaling ke arah lelaki yang baru datang, dan kesempatan itu diambil oleh Datuk Dr. Johar. Dia lari sekuat-kuat hati. Peliknya, mereka tidak mengejarnya. Dia terlepas...Lega. Dahaga, lapar mula menggigit tekak dan perutnya. Dia mesti makan. Dia perlu minum. Tapi di mana? Tiba-tiba, dia terdengar suara komputer dari sound system di tepi jalan:

"Assalamualaikum, kepada seluruh penduduk Kota Mutmainnah. Syed Al-Abrar, hartawan besar berada di Jalan Uwais Al-Qarni. Dia merayu kepada fakir miskin supaya sudi menerima sedekahnya. Hari ini, dia menjamu nasi dan minuman. Sila datang!"

Datuk Dr. Johar orang besar Darul Ghurur itu tidak akan mencemar duli menagih nasi. Dia ada duit, mampu membelinya sendiri. Dia pun masuk ke sebuah restoran di tepi jalan. Di situ penuh dengan pelanggan. Semuanya berserban dan berjubah. Matanya tidak betah lagi melihat semua itu. Tapi kerana lapar, dia masuk juga.

"Maaf tuan, itu pintu masuk untuk wanita. Di sini untuk lelaki."
"Ceh, Diskriminasi, double-standard, lelaki dipisahkan daripada perempuan."

Mukanya dicemekkan kepada tuan kedai yang menegurnya.

"Ada restoran lain yang mengamalkan persamaan taraf antara lelaki dan perempuan? Saya tak suka pemisahan-pemisahan macam ni."

Lelaki itu tersenyum.

"40 tahun yang lalu adalah. Sekarang ni, kita sudah bebas dan merdeka. Zaman penjajahan fikiran dan jiwa sudah berlalu. Tak ada diskriminasi wanita di sini, tuan. Amir dan pemimpin Darul Taqwa telah menaikkan taraf wanita tanpa Women's Libs. Kalau tuan ada isteri dan membawanya bersama, sila masuk ke sana. Di sana ada tempat khusus untuk makan bersama isteri dan anak perempuan," terangnya.

Mukanya jernih. Serban dan jubahnya serba putih.

"Ini bertentangan dengan prinsip demokrasi. Sistem pemerintahan kapitalis, sosialis, nasionalis malah komunis sekalipun tak macam ni..."
"Masya-Allah pakcik, jangan disebut lagi nama ideologi itu. Semuanya telah termaktub sebagai ajaran-ajaran sesat dalam perlembagaan Darul Taqwa ini. Tak ada lagi orang yang berpegang dengan fahaman jahilliyyah itu...Subhanallah..." keluh tuan restoran itu sambil mengurut-ngurut dadanya.

Ekor serbannya bergoyang-goyang ketika dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Ah! Persetankan semua itu. Perut aku lapar. Datuk Dr. Johar pun masuk.

p/s: nanti sambung balik...